PROGRAM 1000 USAHAWAN CELIK ZAKAT

PEKAN, 16 Ogos 2023 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah melaksanakan satu program 1000 usahawan celik zakat yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama Pusat Bahasa Moden Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan. Program ini telah dihadiri seramai 73 orang ahli Hub Usahawan Negeri Pahang yang diketuai oleh Puan Nurliana selaku urusetia Hub. Puan Nurliana atau lebih dikenali sebagai Sis Lia juga merupakan Tokoh Belia Negara 2020. Peserta yang terlibat bukan sahaja dari daerah Kuantan bahkan mewakili beberapa daerah seluruh Pahang.

Sepanjang program ini dilaksanakan di 5 Daerah termasuk di UMP Pekan ini, 237 usahawan telah menyertai BizZakat, objektif program adalah untuk mendekatkan usahawan di Negeri Pahang khususnya yang belum membayar zakat untuk mendapat info secara langsung berkenaan kelebihan menjadi pembayar zakat di Negeri Pahang.

Di dalam program ini juga turut diselitkan penerangan berkenaan direktori BizZakat dan Zakat Perniagaan yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Pemasaran, Encik Mohd Abdul Khaliq Bin Mohd Nazir. Dalam taklimat tersebut juga, peserta diberi peluang untuk berkongsi idea serta pandangan bagi menambahbaik aktiviti yang akan diadakan pada masa akan datang. Program seumpama ini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain bagi memberi pendedahan dengan lebih mendalam tentang ilmu zakat perniagaan dan kelebihan BizZakat kepada para usahawan.

Diharapkan program ini mampu memberi impak yang baik kepada semua peniaga di Negeri Pahang untuk memahami kefardhuan zakat perniagaan dan seterusnya menjadi pembayar zakat pada masa akan datang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial