Kuantan, 26 November 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menganjurkan satu program bersama Jawatankuasa Badan Peguam Cawangan Negeri Pahang dan Badan Peguam Malaysia Cawangan Pahang. Program ini merupakan taklimat zakat yang bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam kepada pengamal undang-undang mengenai kewajipan zakat pendapatan dan zakat perniagaan.
Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada pengamal undang-undang sivil di daerah Kuantan hadir untuk memanfaatkan peluang ini. Peserta diberikan dua taklimat utama yang meliputi taklimat mengenai zakat pendapatan yang disampaikan oleh Pengurus Zon Timur PKZ Pahang iaitu Ustaz Felza Zulrrafaaee Bin Abdul Hamid dan taklimat mengenai zakat perniagaan pula disampaikan oleh Encik Mohd Abdul Khaliq Bin Mohd Nazir. Kedua-dua slot ini bertujuan untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang tanggungjawab zakat, terutama dalam kalangan profesional undang-undang yang berperanan besar dalam masyarakat.

Taklimat zakat pendapatan menyentuh tentang kewajipan membayar zakat bagi individu yang berpendapatan, manakala taklimat zakat perniagaan pula memberi fokus kepada zakat yang perlu dibayar oleh usahawan dan pemilik perniagaan. Kedua-dua taklimat ini dikendalikan oleh pakar zakat dari PKZ Pahang yang berpengalaman dalam bidang tersebut.
PKZ Pahang berharap kerjasama dengan Badan Peguam Cawangan Negeri Pahang dapat memberi manfaat yang lebih luas dan terus memperkukuhkan budaya zakat dalam kalangan rakyat negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Nur ‘Addneen binti Mohamad Razali
Pelatih Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang