PROGRAM BERSAMA WARGA IBUPEJABAT POLIS DAERAH

LIPIS, 25 Januari 2024 – Sempena dengan bulan Rejab yang mulia, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Zon Barat telah mengadakan program ceramah kesedaran zakat dan berwakaf di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pahang Barat iaitu IPD Lipis dan IPD Cameron.

Taklimat bertajuk ‘Rezeki Yang Berkat’ telah disampaikan oleh Encik Mohd Zaisam bin Zainal, Pengurus Pusat Kutipan Zakat Pahang Zon Barat dan disertai oleh beberapa Pegawai Zakat dari daerah berkenaan. Di dalam ceramahnya, Encik Zaisam telah memberi penekanan terhadap konsep keberkatan rezeki dan penjelasan berkenaan harta yang perlu dizakatkan serta kaedah untuk melaksanakan ibadah wakaf. 

Seramai 30 orang anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan telah menyertai program separuh hari ini dan alhamdulillah lebih separuh dari hadirin telah melaksanakan ibadah zakat atau wakaf melalui skim potongan gaji bulanan. Ramai di kalangan anggota yang hadir telah mengambil kesempatan untuk bertanya persoalan sekitar pengurusan harta, pengiraan zakat dan jenis wakaf yang disediakan oleh Pusat Zakat Dan Wakaf Pahang.

Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap zakat yang telah ditunaikan oleh semua kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah dan memberkati segala harta mereka yang masih tinggal.

Disediakan oleh:
Mohamad Taufiq Bin Mohd Suhaimi
Pembantu Pegawai Zakat Cawangan Lipis
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial