Program Edaran Bubur Lambuk Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang Bersama Muzlina Trading Sempena Program Ihya Ramadhan 2025

Kuantan, 7 Mac 2025 – Program Edaran Bubur Lambuk anjuran Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) bersama Muzlina Trading telah diadakan dengan jayanya di Padang MBK 1, Kuantan, sebagai sebahagian daripada Program Ihya Ramadhan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Program ini diadakan pada jam 5 petang dan telah menarik kehadiran ramai pengunjung yang ingin berbuka puasa bersama komuniti setempat.

Sebanyak 1,100 pek bubur lambuk telah diedarkan kepada orang ramai yang hadir di padang tersebut, menambah keceriaan suasana berbuka puasa. Program ini turut dihadiri oleh wakil-wakil dari PKZWP, Muzlina Trading, serta beberapa agensi yang turut menyokong penganjuran acara ini.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, sebuah taklimat mengenai zakat telah disampaikan oleh Pegawai Dakwah PKZ Pahang, Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli. Taklimat ini bertujuan memberi penjelasan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya zakat sebagai salah satu daripada rukun Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Ustaz Nadhir turut menekankan bagaimana zakat dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dan memperkasa ekonomi ummah.

Program berbuka puasa di Padang MBK 1 ini sudah menjadi satu tradisi di Kuantan setiap kali bulan Ramadhan tiba, di mana ia menjadi titik pertemuan masyarakat pelbagai lapisan untuk berkumpul dan berbuka puasa. Dengan kesempatan itu, pihak PKZWP bersama Muzlina Trading telah mengagihkan bubur lampuk dan berkongsi rezeki dan dalam masa yang sama memberi penerangan kepada masyarakat untuk lebih memahami dan menyedari kepentingan zakat dalam kehidupan mereka.

Dalam program ini, PKZWP berharap agar masyarakat sentiasa sedar dan memahami tanggungjawab mereka dalam mengeluarkan zakat, bukan sahaja sebagai kewajipan agama tetapi juga sebagai satu cara untuk membantu sesama insan. Pihak PKZWP juga berharap agar aktiviti sebegini dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang zakat di kalangan masyarakat, seterusnya membentuk sebuah komuniti yang lebih prihatin terhadap golongan yang memerlukan. Dengan sokongan semua pihak, diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan untuk memperkukuh semangat kekitaan dan saling membantu di kalangan umat Islam di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial