KUANTAN, 2 Mac 2026 – Program Ihya’ Ramadan, Agihan Bubur Lambuk, Haflatu al-Quran dan Tazkirah Peringkat Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya di Padang MBK 1, Kuantan hasil kolaborasi strategik antara Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) dan Muzlina Trading bersama pengusaha Shell Negeri Pahang.
Program yang dianjurkan sempena bulan Ramadan ini bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui pengisian rohani serta aktiviti kebajikan kepada masyarakat setempat. Antara pengisian utama ialah haflatu al-Quran, sesi tazkirah Ramadan serta agihan bubur kepada para pengunjung yang hadir.
Dalam program tersebut, Muzlina Trading bersama pengusaha Shell Negeri Pahang telah menaja sebanyak 500 bekas bubur lambuk, manakala PKZ Pahang menaja 250 bekas bubur jagung untuk diagihkan kepada orang ramai. Agihan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat sekitar yang hadir memeriahkan program.
Kolaborasi ini mencerminkan semangat kebersamaan antara institusi zakat dan pihak korporat dalam menyantuni masyarakat serta menyebarkan nilai kasih sayang dan keprihatinan sepanjang bulan yang mulia ini.
PKZ Pahang berharap agar program seumpama ini dapat terus memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan zakat serta menyemai budaya berkongsi rezeki dalam kalangan umat Islam. Semoga Ramadan kali ini menjadi medan untuk memperbanyakkan amal kebajikan dan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Disediakan oleh,
Nur Aina Arisha Binti Asmadi
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang














