PROGRAM JALINAN KASIH KERJASAMA BERSAMA ANIH BERHAD 2023

BENTONG, 15 Mac 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah lama mempunyai jalinan kerjasama yang baik dengan pihak ANIH Berhad selaku konsesi Lebuhraya Pantai Timur Satu (LPT 1), antaranya melalui penyediaan taqwim solat tahunan kepada surau-surau ANIH Berhad dan penganjuran beberapa program bagi mendekatkan masyarakat dengan kedua-dua badan ini.

Dalam proses menggiatkan dakwah kepada orang ramai tentang kewajipan berzakat, pada hari ini pihak PKZ Pahang telah mengadakan satu program kolaborasi dengan pihak ANIH Berhad. Program ini telah dijalankan di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Genting Sempah yang telah dihadiri oleh para peniaga RNR Genting Sepah, Ahli Jawatankuasa Masjid sekitar daerah Bentong, kakitangan PKZ Pahang dan juga kakitangan ANIH Berhad. Keseluruhannya tetamu yang hadir hampir 100 orang bagi menjayakan program tersebut.

Dalam program tersebut, PKZ Pahang telah menerima bayaran zakat perniagaan daripada peniaga-peniaga RNR Genting Sepah yang telah diterima oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.  Selain itu, dalam program ini juga turut diadakan majlis serahan bantuan Ihya Ramadan yang telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Bentong, Ustaz Muhammad Ferdaus bin Kamaruzaman kepada 18 buah masjid di sekitar daerah Bentong.

Di dalam majlis tersebut, pihak ANIH turut menyumbang dua buah van kepada 2 institusi pengajian iaitu Rumah Ngaji Barokah Temerloh dan Maahad Dirasat Diniyah (MADAD) Jerantut yang disempurnakan oleh Puan Radzimah binti Radzi, Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad. Bantuan sumbangan pihak ANIH Berhad ini adalah hasil pemulangan semula wang zakat (Wakalah) ANIH Berhad kepada PKZ Pahang yang dibayar sebelum ini. Di dalam program ini juga telah dilancarkan satu video berkenaan keselamatan jalanraya yang telah disediakan oleh team penerbitan PKZ Pahang untuk paparan Highway Information System (TV LPT).

PKZ Pahang merakamkan penghargaan kepada ANIH Berhad di atas kesudian bekerjasama dalam menyampaikan mesej zakat kepada masyarakat khususnya pengguna Lebuhraya Pantai Timur 1 dan berharap agar silaturrahim yang telah terjalin ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial