JERANTUT, 29 Oktober 2025 – Program Jejak Zakat Siri 2 anjuran Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah berjaya diadakan dengan jayanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling pada 28 hingga 29 Oktober 2025. Program ini bertujuan mendekati masyarakat luar bandar serta memperkukuh kefahaman terhadap tanggungjawab menunaikan zakat dan berwakaf.
Pasukan PKZ diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Asri Awang, Pengurus Zon Tengah PKZ Pahang, dibantu oleh Penolong Pengurus Cawangan, Ustaz Zihni Simat, bersama dua orang kakitangan yang turut terlibat menjayakan pelaksanaan program tersebut. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah ziarah peniaga, ceramah zakat, kaunter zakat dan wakaf, serta khutbah Jumaat bertemakan kepentingan zakat dalam pembangunan ummah.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk Kampung Bantal, termasuk para peniaga dan pembayar zakat yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini. Pihak penganjur turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para pembayar zakat di Kampung Bantal atas sokongan dan keprihatinan mereka terhadap tanggungjawab berzakat.
Pusat Kutipan Zakat Pahang juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Kampung, Pengerusi JPKK, Pengerusi Masjid, para Imam serta seluruh penduduk kampung yang telah memberikan kerjasama padu sepanjang program berlangsung.
Program Jejak Zakat Siri 2 ini diharap dapat terus menjadi wadah dakwah yang efektif dalam memperkukuh kesedaran zakat dan wakaf, selain mengeratkan hubungan antara institusi zakat dan masyarakat setempat di kawasan pedalaman.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
