PROGRAM KHAS PELAKSANAAN ZAKAT PENDAPATAN PENJAWAT AWAM NEGERI PAHANG

KUANTAN 07 Jun 2024 – Suatu program khas taklimat zakat pendapatan secara intensif bagi memastikan semua penjawat awam yang layak berzakat melaksanakan bayaran zakat masing-masing melalui kaedah potongan gaji sebagai tanggungjawab kepada perintah agama. Seramai 337 penjawat awam daripada 30 jabatan hadir dan mendaftar sempena taklimat ini. Objektif taklimat adalah untuk menerangkan kaedah pengiraan zakat pendapatan terkini dan berimpak tinggi disamping menyediakan kemudahan membuat taksiran, sijil penyertaan dan juga mata ganjaran Z-Point.

Pengisian program dimulakan dengan Ucapan aluan oleh Tuan Haji Jumshoiry Novdany Bin Mohd Sulaiman, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Santapan Rohani oleh YH Dato’ Haji Abdul Zaki bin Md Zain, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang. Manakala taklimat khas pelaksanaan zakat pendapatan disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Bahagian Korporat & Dakwah, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) dan juga Tuan Mohd Farid bin Mohd Ramli, Ketua Bahagian Korporat & Pemasaran Wakaf Pahang.

Hasil program khas ini, seramai 127 penjawat awam iaitu 48.8 peratus daripada jumlah kehadiran melaksanakan ibadah zakat dan wakaf sempen program tersebut. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob di atas inisiatif penganjuran program berimpak tinggi. Turut hadir meraikan program YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan, PKZP dan Ybhg Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar PKZP dan juga Ustaz Felza Zurrafaaee bin Abd Hamid, Pengurus Zon Timur, PKZP.

Taklimat ini juga turut menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para peserta. Semoga, taklimkat ini dapat memberikan kefahaman betapa zakat dan wakaf merupakan kaedah yang amat penting bagi umat Islam menguruskan harta masing-masing. Semangat untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai zakat dan wakaf semakin diperkukuhkan melalui program seperti ini. Kepelbagaian pandangan dari ahli panel serta interaksi bersama penjawat awam telah menjadikan program ini sebagai satu platform yang berharga bagi memperkukuhkan kefahaman dan komitmen terhadap amalan zakat dan wakaf dalam masyarakat tempatan khususnya di negeri Pahang.

Disediakan oleh:
Mohd Azmi bin Haji Othman
Ketua Bahagian Korporat dan Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial