BERA, 21 Oktober 2022 – Pusat Kutipan Pahang (PKZ) daerah Bera telah mengadakan program My Kampung yang bertempat di Felda Bukit Mendi, Bera. Program yang berlangsung selama dua hari ini (20 Oktober hingga 21 Oktober 2022) telah dimulakan dengan program Jejak Peniaga `Bizzakat’ pada sebelah pagi yang melibatkan kawasan jalan pekan Triang, Kemayan dan Felda Bukit Mendi. Pada sebelah malam pula, telah berlangsung Forum Perdana di Masjid Felda Bukit Mendi yang disampaikan oleh Haji Mohd Asri bin Awang selaku Pengurus Zon Tengah PKZ Pahang dengan tajuk “Meraih Keredhaan Ilahi”.
Pada hari berikutnya sempena dengan pagi Jumaat Mubarakah program dimulakan dengan Kuliah Dhuha di tiga surau disekitar Felda Bukit Mendi iaitu Surau Blok 1, Surau Blok 9 dan Surau At-Taqwa. Kuliah Dhuha ini telah dihadiri lebih dari 50 orang jemaah di setiap lokasi terlibat. Program diakhiri dengan bacaan khutbah Jumaat 3 masjid sekitar serta kaunter penerangan zakat selepas solat Jumaat.
Sepanjang program ini dijalankan PKZ Pahang telah menerima bayaran zakat daripada 5 pembayar baru dan 10 pembayar lama dengan jumlah kutipan bayaran zakat sebanyak RM7,648.10 manakala seramai 17 orang pembayar baru wakaf dengan jumlah kutipan sebanyak RM4,220.00 yang menjadikan keseluruahan pembayar zakat dan wakaf sepanjang program ini berlangsung adalah sebanyak 32 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM11,868.10.
Objektif program ini adalah bertujuan untuk menyampaikan penerangan info-info berkaitan kefardhuan zakat harta dan mendekatkan masyarakat dengan PKZ Pahang. Adalah diharapkan program seumpamam ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kewajipan berzakat dan seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
