KUANTAN, 15 April 2023 – Bersempena bulan Ramadan ini, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah mengadakan satu program khidmat sosial yang diberi nama “RamadanMu BersamaKu’. Program ini adalah hasil kerjasama dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), ANIH Berhad dan Sahabat Telekung Kuantan (STK).
Tujuan program ini diadakan adalah untuk menukar pakaian solat iaitu kain pelikat, telekung dan sejadah di surau-surau Rehat dan Rawat (R&R), Hentian dan Exit LPT1. Selain itu, program ini juga turut membuat agihan berupa barangan keperluan asasi sumbangan dari MUIP kepada tenaga kerja pembersihan ANIH Berhad yang tergolong dalam golongan miskin B40.



Program ini telah dirasmikan oleh YH Dato’ Haji Halidan bin Md. Daud, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang dengan melaksanakan gimik pelepasan kenderaan konvoi. Sebanyak 11 hentian terlibat iaitu bermula di R&R Gambang (Barat), Exit Sri Jaya, Exit Maran, Hentian Maran (Barat), Exit Chenor, R&R Temerloh (Barat), Exit Temerloh, R&R Temerloh (Timur), Hentian Maran (Timur), R&R Gambang (Timur) dan berakhir di Exit Gambang.
Program berakhir dengan majlis iftar beramai-ramai bersama krew-krew yang terlibat di pekarangan surau Exit Gambang. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh kakitangan PKZ Pahang, sukarelawan STK dan masyarakat yang terlibat dalam menjayakan program ini. Adalah diharapkan program seumpama ini mampu merapatkan lagi hubungan di antara PKZ Pahang dan masyarakat luar.
Disediakan oleh,
Mohd Khaereeyl Zaharul Izdhar bin Saharudin
Bahagian Pemasaran
Pusat Kutipan Zakat Pahang