PROGRAM RAMAH MESRA BERSAMA PEMBAYAR CAMERON HIGHLANDS

CAMERON HIGHLANDS, 9 Mei 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah mengadakan satu program ramah mesra bersama pembayar zakat Cameron Highlands yang bertempat di pejabat baru PKZ Pahang yang terletak di hadapan Darulmakmur Chalet Taman Sedia. Program ini turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Cameroh Highlands Encik Muhammad Syukri bin Abdul Aziz, Pengurus Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Ustaz Aliuddin bin Abdul Halim, Timbalan Qadhi Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Zailan bin Osman, wakil-wakil jabatan, pimpinan masyarakat setempat dan pembayar-pembayar zakat.

Dalam ucapan aluan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam memeriahkan pembukaan pejabat baru ini. Semoga dengan pembukaan pejabat ini, ia akan memperkukuhkan lagi ikatan antara Pusat Kutipan Zakat Pahang dengan masyarakat Islam di Cameron Highlands.

“Pembukaan pejabat baru ini bukan sekadar satu kemajuan fizikal, tetapi ia juga membawa makna yang mendalam dalam memperkukuhkan lagi hubungan antara masyarakat Islam di Cameron Highlands dengan pihak Pusat Kutipan Zakat Pahang. Dengan lokasi yang strategik di hadapan Darulmakmur Chalet Taman Sedia, diharapkan ia akan memudahkan lagi para pembayar untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam membayar zakat”.

Sebagai umat Islam, zakat merupakan salah satu rukun Islam yang penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Dengan adanya pejabat baru ini, Pusat Kutipan Zakat Pahang berharap dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat setempat dalam urusan berkaitan zakat.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial