Kuantan, 19 Julai 2025 – Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) menjadi saksi penganjuran program istimewa bertajuk “Wanita, al-Quran & Undang-undang” yang menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang bagi memperkasa kefahaman mengenai peranan wanita dari sudut pandang Islam dan undang-undang.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini merupakan anjuran bersama Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), UniPSAS dan Sahabat Tadabbur Kuantan, bersempena sambutan Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Norahida binti Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi) UniPSAS, dan turut hadir Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) selaku Pengarah Program Bulan Zakat & Wakaf 2025.
Turut hadir, En. Mohd Saifuddin bin Abdul Karim, Dekan Fakulti Syariah & Undang-Undang UniPSAS, bersama barisan pensyarah fakulti yang menyokong penganjuran program ini dan turut serta dalam menjayakannya.
Antara pengisian utama program termasuklah tadabbur kisah Ummu Sulaym, perbincangan bertema “Wanita Kunci Kesejahteraan Ummah”, serta pencerahan berkaitan hak-hak wanita dalam perspektif undang-undang Islam.
Tiga panel jemputan telah berkongsi ilmu dan pengalaman mereka:
Ustazah Hazimin, Penceramah Bebas
Ustaz Mohd Nadhir Syafiq, Pegawai Dakwah, PKZ
Puan Nadia, Pensyarah, Fakulti Syariah & Undang-undang
Program turut diserikan dengan cabutan bertuah, jamuan makan tengah hari, serta penyampaian e-sijil kepada peserta. Sambutan hangat yang diterima mencerminkan kesedaran dan minat yang tinggi terhadap isu-isu wanita dalam konteks Islam kontemporari.
“Program seperti ini membuka ruang untuk wanita memahami kedudukan mereka dalam Islam, bukan sahaja dari aspek rohani tetapi juga dari segi pengurusan kewangan, hak dan perlindungan yang dijamin oleh syariat,” ujar salah seorang peserta.
Semoga usaha ini menjadi platform berterusan dalam memperkukuh jati diri wanita Muslim dan membentuk masyarakat yang lebih sejahtera berteraskan al-Quran dan undang-undang Islam.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang


