15 April 2022, KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) dengan kerjasama pihak McDonald’s Malaysia telah meraikan 40 orang anak-anak yatim di dalam majlis berbuka puasa bersama mereka bertempat di Rumah Anak Yatim Dan Miskin Permata Camar, Kuantan.
McDonald’s Malaysia telah diwakili oleh Encik Azhar bin Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman manakala Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diwakili Encik Khairudin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan Dan Dasar) dan Pusat Kutipan Zakat Pahang pula diwakili Haji Che Samsol bin Ibrahim, Ketua Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam. Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah 40 orang kakitangan MacDonald’s Malaysia, PKZ Pahang dan MUIP. Dalam majlis ini juga, pihak McDonald’s juga turut menyumbangkan duit raya, dan mengagihkan produk makanan keluaran syarikat mereka serta kupon makanan percuma kepada para anak yatim yang hadir.
Dalam majlis tersebut juga MacDonald’s Malaysia yang dimiliki oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd telah menyerahkan zakat perniagaan mereka sebanyak satu ratus lapan puluh ribu ringgit (RM180,000). Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada pihak McDonald’s Malaysia dan seluruh kakitangan.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang