PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG DAN MCDONALD’S MERAIKAN ANAK YATIM BERBUKA PUASA

KUANTAN, 22 Mac 2024, – McDonald’s Malaysia dengan Kerjasama Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah meraikan 100 orang anak-anak yatim di dalam majlis berbuka puasa bersama mereka bertempat di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor, Kuantan.

McDonald’s Malaysia telah diwakili oleh Encik Shadan Ismail, Pengurus Bahagian Operasi McDonald’s Malaysia untuk Bahagian Pantai Timur manakala Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diwakili YBhg. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal Dan Operasi) dan Pusat Kutipan Zakat Pahang pula diwakili Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar PKZ Pahang. Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah 10 orang kakitangan McDonald’s Malaysia, PKZ Pahang dan MUIP. Dalam majlis ini juga, pihak McDonald’s juga turut menyumbangkan duit raya, dan bantuan beg sekolah serta mengagihkan produk makanan keluaran syarikat mereka kepada para anak yatim yang hadir.

Dalam majlis tersebut juga McDonald’s Malaysia yang dimiliki oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd telah menyerahkan sumbangan asnaf kepada Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom sebanyak  tiga puluh lima  ribu ringgit (RM35,000). Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada pihak McDonald’s Malaysia dan seluruh kakitangan.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial