KUANTAN, 2 November 2023 – Buat julung kalinya Pusat Kutipan Zakat Pahang berkolaborasi dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyebarkan dakwah zakat harta khusus zakat ternakan bagi penternak-penternak di seluruh negeri Pahang.
Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah menyerahkan bahan kempen poster, risalah dan bunting berkaitan zakat ternakan untuk diletakkan di kaunter-kaunter perkhidmatan jabatan veterinar seluruh daerah di negeri Pahang. Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar PKZP, diiringi oleh Ustaz Felza Zulrraafaaee bin Abd Hamid, Ketua Bahagian Dakwah PKZP telah menyerahkan bahan-bahan tersebut kepada Dr. Hamdan bin Mohamed Hadi diikuti pegawai-pegawai dari setiap daerah (12 Daerah). Serahan tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Veterinar Negeri Pahang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengahari.
PKZP juga pada masa yang sama sangat berbesar hati kerana jabatan tersebut sudi menerima cadangan serta memberi peluang kepada PKZP dalam menyebarluaskan lagi dakwah zakat ternakan yang bersasar kepada penternak-penternak. Berdasarkan data kutipan zakat ternakan, hanya 154 pembayar zakat ternakan yang membayar zakat. Menurut Jabatan Perkhidmatan Vaterinar di negeri Pahang, secara keseluruhan hampir 7,000 penternak yang berdaftar dengan bawah mereka.
Sementara itu Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan, Dr Hamdan bin Mohamed Hadi mewakili pihak jabatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PKZP kerana memberi peluang kepada jabatan tersebut untuk sama-sama menyebarkan dakwah zakat di negeri Pahang ni dalam kalangan penternak dan masyarakat setempat.
“Semoga kolaborasi yang kita bina ini berpanjangan dan memberi banyak manfaat bukan sekadar untuk penternak malahan untuk kakitangan-kakitangan jabatan ini juga. Sangat rugi sekiranya kita tidak mengambil peluang ini bagi menyebarkan pengetahuan kepada penternak-penternak yang berada dibawah pengurusan kita dalam melunaskan tanggungjawab mereka terhadap agama,” katanya.
Turut hadir bagi sesi penyerahan tersebut Dr. Farhan Daniel bin Muhammad Syazwan Thana Ketua Bahagian Regulatori, Ketua-ketua Seksyen serta pegawai-pegawai dan wakil pegawai dari seluruh daerah di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Fatin Nor Azrin Binti Omar
Penolong Pegawai Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang