RIDE AMAL ZAKAT WAKAF 2024

MARAN, 3 Mac 2024 – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang (PKZ) telah menganjurkan Ride Amal Zakat Wakaf 2024. Program yang berlangsung selama setengah hari ini disertai 160 peserta yang melibatkan 140 motosikal dan 5 kenderaan. Program ini bermula dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan dan berakhir di Surau As-Saadah Kampong Bongkok, Maran yang melibatkan jarak 92 kilometer. Acara flag off (pelepasan konvoi) telah dilaksanakan oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Yang Hormat Dato Haji Halidan Md Daud.

Ride Amal ini merupakan salah satu program dirancang sempena penganjuran Bulan zakat Dan Wakaf Pahang yang berlangsung sepanjang bulan Syaaban tahun ini. Program ini merupakan kalorasi bersama antara Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan dan kumpulan motosikal.

Program bermula seawal pagi dengan menyertai program Subuh Fighter secara berjemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan dan seterusnya peserta berlepas melalui Jalan Gambang dan jalan lama Kuantan-Maran. Destinasi persinggahan pertama adalah di Surau An-Nur, Ibupejabat Polis Daerah Maran. Di situ telah YH Dato Halidan telah menyerahkan dana wakaf berjumlah RM53,700 bagi tujuan penyelenggaraan surau An-Nur.

Kemudian para peserta telah bergerak ke Pondok Tahfiz Darul Hikmah di Kampung Senggora, Maran. Pengarah Agihan Zakat MUIP, Ustaz Muhamad Hafidz Abdul Halim telah menyerahkan bantuan zakat kepada para penuntut yang belajar di situ. Acara kemuncak adalah perhentian terakhir di Surau As-Saadah Kampung Bongkok, Lubuk Paku. Para peserta telah menyertai masyarakat setempat melaksanakan program gotong royong membersihkan surau dan menikmati jamuan tengahari beramai-ramai. Pihak Wakaf Pahang juga turut menyumbang dana wakaf sebanyak RM19,900 bagi tujuan pemasangan jubin lantai dan pendawaian elektrik Surau As-Saadah.

Diharap agar program Ride Amal ini dapat mengeratkan jalinan kerjasama antara Pusat Zakat Dan Wakaf Pahang dengan rakan kolaborasi dan masyarakat awam di samping memperkenalkan organisasi zakat dan wakaf kepada mereka.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial