SAMBUTAN RAMAH MESRA AIDILFITRI PKZ PAHANG 2023

KUANTAN, 19 Mei 2023 – Dalam meraikan bulan Syawal yang penuh meriah, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah mengadakan Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri peringkat PKZ Pahang pada 19 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444 Hijriyyah bertempat di pekarangan pejabat PKZ Pahang.

Para jemputan mulai hadir bermula jam 10.00 pagi dan terus memenuhi ruangan kanopi dan Bilik Seminar Ibu Pejabat PKZ Pahang sehingga ke waktu Jumaat. Rumah terbuka tersebut telah dihadiri lebih 500 orang tetamu yang terdiri daripada para pembayar, ejen–ejen zakat, para pembekal dan wakil-wakil jabatan atausyarikat sekitar Kuantan. Pihak PKZ Pahang menyediakan pelbagai juadah hari raya yang terdiri daripada nasi minyak, sate, mee sup, lemang, dan pelbagai kuih muih untuk dinikmati oleh semua tetamu yang hadir.

Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Saiful Edris bin Zainuddin YB Penasihat Undang- Undang Negeri Pahang, YH Dato’ Hairi bin Hussain Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YBhg. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, YH Dato’ Haji Badli Shah bin Alauddin Timbalan Mufti Negeri Pahang, Haji Ahmad Mustaqim bin Zin Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Holdings dan beberapa pengarah jabatan kerajaan serta swasta.
 

Para kakitangan PKZ Pahang tidak melepaskan peluang untuk saling beramah mesra dengan tetamu yang hadir di samping bertukar info dan idea berkenaan urusan kerja. Timbalan Pengurus Besar Kanan, Haji Che Samsol bin Ibrahim mewakili pihak PKZ Pahang merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada tetamu yang memeriahkan majlis ramah mesra dan berharap semua pihak dapat bersama-sama menggembleng usaha bersama PKZ Pahang dalam meningkatkan kesedaran berzakat dan wakaf kepada semua lapisan masyarakat.

‘Seindah Ramadan Semeriah Syawal, Tunaikan Zakat Sebagai Amal’

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial