SAMBUTAN RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI PKZ PAHANG 2024

KUANTAN, 2 Mei 2024 – Dalam meraikan bulan Syawal yang penuh meriah, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat PKZ Pahang pada 2 Mei 2024 bersamaan 23 Syawal 1445 Hijriyyah.

Para jemputan mulai hadir pada jam 11.30 pagi dan terus memenuhi Bilik Seminar Ibu Pejabat PKZ Pahang sehingga jam 2.00 petang. Rumah terbuka tersebut telah dihadiri lebih 500 orang tetamu yang terdiri daripada para pembayar, ejen–ejen zakat dan wakil-wakil jabatan sekitar Kuantan.

Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran YBhg Professor Dr. Hasan bin Ahmad, Ahli Majlis, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Dr. Haji Zulkiflie bin Haji Ali Al-Hafiz dan 2 timbalan MUIP Ybrs. Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pengurusan Dan Dasar serta YBhg Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal Dan Operasi.

Para kakitangan PKZ Pahang tidak melepaskan peluang untuk saling beramah mesra dengan tetamu di samping dapat menyampaikan info mengenai zakat dan PKZ Pahang. Pihak PKZ Pahang menyediakan pelbagai juadah hari raya yang terdiri daripada nasi minyak, sate, laksa Pahang, lemang, dan lain-lain serta kuih muih untuk dinikmati oleh semua tetamu yang hadir.

Pengurus Besar Kanan, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud mewakili pihak PKZ Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu yang memeriahkan majlis dan berharap semua pihak dapat bersama-sama PKZ Pahang dalam meningkatkan kesedaran Masyarakat Islam khususnya di Negeri Pahang bagi menunaikan kefardhuan Zakat dengan jayanya.

‘Seindah Ramadan Semeriah Syawal, Tunaikan Zakat Sebagai Amal’

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial