SEMINAR LELAKI QAWWAM PERINGKAT NEGERI PAHANG 2025

KUANTAN, 3 Oktober 2025 / 11 RABIULAKHIR 1447H – Pusat Kutipan Zakat Pahang melalui Bahagian Dakwah dengan kolaborasi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Bahagian KSK JAKIM, serta Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Negeri Pahang 2025 bertempat di Auditorium Tuanku Canselor, UnIPSAS.

Program yang berjaya menarik penyertaan hampir 300 peserta ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman terhadap peranan lelaki sebagai qawwam dalam konteks keluarga dan masyarakat. Penganjuran seminar ini juga memberi fokus kepada usaha menangani pelbagai isu sosial yang berpunca daripada kegagalan lelaki melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.

Seminar ini menampilkan dua sesi pembentangan utama, iaitu bertajuk “Qawwam dan Amanah Rezeki: Pengurusan Kewangan Muslim” oleh Ustaz Felza Zulrrafaaee bin Abdul Hamid, serta “Qawwam: Peranan Lelaki dalam Membangun Keluarga dan Negara” oleh Ustaz Zul Ramli bin Mohamed Razali.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Mohd Rasmawi bin Harun, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pahang, yang hadir mewakili Timbalan Pengarah JAIP. Turut sama memeriahkan majlis ialah Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian KSK JAKIM, dan Prof. Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UnIPSAS.

Penganjuran seminar ini diharap dapat mempertingkat kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab lelaki sebagai pemimpin keluarga yang berasaskan nilai kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan. Kefahaman yang mendalam terhadap konsep Qawwam diyakini mampu melahirkan golongan lelaki yang berdaya kepimpinan serta berperanan penting dalam membina institusi keluarga dan masyarakat yang harmoni.

Disediakan Oleh
Fatin Nor Azrin Omar
Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial