SEMINAR PENGURUSAN HARTA

KUANTAN, 24 April 2024 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah menganjurkan program Seminar Pengurusan Harta dengan kerjasama sebuah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang (RTM) yang berlangsung di Bilik Serbaguna RTM Pahang, Kuantan. Seminar ini adalah sempena majlis pembukaan bagi Program Karnival Sunnah Zon Timur 2024 yang diadakan di perkarangan Kompleks RTM Pahang bermula 24 April 2024 sehingga 28 April 2024.

Program seminar ini telah dihadiri seramai 135 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat swasta. Program separuh hari ini diisi dengan lima slot pembentangan daripada wakil jabatan-jabatan terpilih iaitu Ketua Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK), Encik Mohd Azizudin bin Abdullah, menyampaikan pembentangan bertajuk : “Pengurusan Kewangan Dan Minda Tenang”. Diikuti oleh Timbalan Pengurus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kuantan, Puan Wan Masrurah binti Manaf, menyampaikan taklimat bertajuk: “Dana Persaraan”.

Berikutnya Pegawai Dakwah Pusat Kutipan Zakat Pahang, Ustazah Fatin Nor Azrin bin Omar menyampaikan pembentangan bertajuk: “Harta Dunia vs Harta Akhirat” dan daripada Ketua Bahagian Dakwah Dan Pemasaran Wakaf Pahang, Ustaz Mohd Farid bin Ramly menyampaikan taklimat bertajuk: “Membina Mahligai Di Syurga”. Manakala pembentang terakhir adalah Eksekutif Amanah Raya Berhad, Encik Hilmi bin Abdul Hadi yang menyampaikan taklimat bertajuk: “Merancang Pewarisan Harta dan Kebahagiaan Bersama”.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan pengurusan harta yang menepati kehendak syarak di samping membina hubungan baik antara Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang dengan jabatan kerajaan, swasta dan masyarakat.

Diharapkan program ini mampu memberi impak yang baik kepada semua masyarakat di Negeri Pahang untuk memahami kefardhuan zakat dan wakaf seterusnya menjadi pembayar zakat dan wakaf pada masa akan datang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial