KUANTAN, 8 Disember 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) dengan kerjasama Markas Wilayah Udara 1 (MWU1), Tentera Udara Diraja Malaysia, telah menganjurkan Seminar Pengurusan Harta Pusaka dan Kesedaran Berzakat bertempat di Auditorium Markas Wilayah Udara 1, Pengkalan Udara Kuantan.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menghimpunkan warga MWU1 bagi meningkatkan kefahaman berhubung pengurusan harta pusaka, pensyariatan zakat harta serta peranan wakaf sebagai amalan jariah berpanjangan.
Seminar ini menampilkan tiga slot utama yang dikendalikan oleh penceramah daripada PKZ Pahang dan Wakaf Pahang, seperti berikut Slot 1 merupakan Pengurusan Harta Pusaka yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamed Fuad bin Zainudin, Ketua Bahagian Potongan Gaji (BPG) PKZ Pahang. Beliau menekankan kepentingan merancang harta pusaka secara sistematik bagi memastikan pembahagian harta berlaku mengikut syariah tanpa pertikaian antara waris.
Slot 2, Pensyariatan Zakat Harta telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli, Pegawai Bahagian Dakwah, PKZ Pahang. Slot ini memberi penerangan mengenai jenis-jenis harta yang dikenakan zakat, kaedah pengiraan serta kewajipan umat Islam untuk menunaikan zakat tepat pada waktunya.
Slot 3 , berkaitan Wakaf yang bertajuk Membina Mahligai di Syurga telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh, Unit Dakwah & Pemasaran, Wakaf Pahang. Beliau menyentuh kepentingan wakaf sebagai amalan yang memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat di samping memacu pembangunan ummah.
Penganjuran seminar ini membuktikan komitmen PKZ Pahang dalam memperluaskan usaha pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap aspek fiqh muamalat, khususnya berkaitan zakat, pusaka dan wakaf. Kerjasama strategik bersama Markas Wilayah Udara 1 ini diharap dapat memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kepatuhan warga kepada tuntutan syariah.
Disediakan oleh,
Che Nurin Nabilah Binti Che Duhall
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
