KUANTAN, 5 Ogos 2025 – Suasana penuh semangat dan inspirasi mewarnai Seminar Wanita Profesional 2025 yang dianjurkan oleh PIMPIN (UMPSA) dengan kerjasama Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Pahang, di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Program bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini menghimpunkan 100 peserta daripada pelbagai latar belakang, agensi semuanya bersatu untuk memperkasa ilmu dan potensi wanita.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, Prof. Madya Dr. Rashidi bin Abbas, dan turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar PKZ Pahang, Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim selaku wakil PKZP. Kehadiran dua figura ini menjadi simbol sokongan padu terhadap usaha mengangkat peranan wanita di era moden.
Empat slot utama seminar ini menjadi tumpuan, masing-masing menampilkan penceramah berwibawa dengan topik yang relevan dan sarat inspirasi:
“Bahagia Wanita dengan Al-Quran” – disampaikan oleh Ustazah Noraini binti Mat Din, penulis buku dan pendakwah bebas.
“Wanita Celik Zakat” – dibawakan oleh Ustazah Fatin Nor Azrin binti Omar, Penolong Pegawai Bahagian Dakwah, PKZ Pahang.
“Wanita: Kerjaya dan Keluarga” – dikongsikan oleh Prof. Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (UMPSA).
“Hak Wanita dalam Perkahwinan” – Puan Nur Munirah binti Mustaffa, Peguam Syarie Negeri Pahang.
Menurut Tuan Haji Che Samsol, seminar ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran, malah menjadi platform untuk memperkukuh keyakinan diri wanita.
“Wanita adalah tonggak penting dalam membentuk keluarga dan masyarakat harmoni. Program seperti ini memperkukuh kefahaman mereka terhadap peranan sebenar dalam kehidupan moden,” ujarnya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Rashidi berkata, seminar ini selari dengan misi UMPSA untuk membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak, di samping melahirkan generasi wanita profesional yang berdaya saing di peringkat global.
Dengan pengisian ilmu yang padat, sesi perbincangan interaktif, dan peluang membina jaringan profesional yang terbina, Seminar Wanita Profesional 2025 bukan sekadar sebuah program, tetapi sebuah gerakan yang menginspirasi wanita untuk terus maju. Sekaligus memberi impak yang positif kepada masyarakat serta negara.
Disediakan oleh,
Nur Maizatul Hidayah binti Nor Azuyang
Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang
