PAHANG, 18 Mac 2023 – Bersempena Bulan Zakat Dan Wakaf peringkat negeri Pahang, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menganjurkan 6 program “Street Dakwah” yang diadakan di Pasar Tani Pekan, Pasar Tani UTC, Kuantan, Pasar Tani, Temerloh, Car Boot Sale (CBS) Lurah Semantan, Temerloh, Pekan Sehari Ulu Dong dan Pekan Sari, Lipis. Program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk mempertingkatan kesedaran kewajipan berzakat dan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada para peniaga dan pengunjung pasar.

Program “Street Dakwah” yang telah diadakan di 6 kawasan berbeza ini telah telah dijalankan oleh kakitangan PKZ Pahang dan sebahagian lokasi turut dibantu oleh para mahasiswa Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) yang membantu menjalankan kaji selidik berkenaan pengetahuan masyarakat terhadap ibadah Wakaf. Turut hadir menjayakan program ini adalah Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud dan juga Timbalan Pengurus Besar, Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim.
Sepanjang program ini berlangsung seramai 12 orang telah membuat potongan gaji zakat dengan amaun potongan sebanyak RM575 sebulan dan 13 orang telah membuat bayaran zakat di Unit Kaunter Bergerak (UKB) dengan jumlah bayaran zakat RM33,125. Selain bayaran zakat, seramai 88 orang turut menunaikan ibadah wakaf dengan jumlah bayaran sebanyak RM2,525 dan seramai 16 orang telah melaksanakan potongan gaji wakaf bulanan dengan amaun RM280 sebulan.

Program “Street Dakwah” ini diadakan adalah bertujuan memperkenalkan pengurusan wakaf baharu kepada orang ramai serta meluaskan penglibatan masyarakat dalam pelaksanaannya selain mengajak mereka menghayati amalan yang dituntut agama itu. Bersempena Bulan Zakat Dan Wakaf ini sebanyak hampir 100 program promosi zakat dan wakaf telah dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Tahniah dan terima kasih kepada seluruh kakitangan PKZ Pahang dan masyarakat yang terlibat dalam menjayakan program “Street Dakwah” ini serta para pembayar zakat dan wakaf dalam program tersebut. Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kewajipan berzakat dan berwakaf di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang