Kita telah maklum bahawa zakat harta di wajibkan sejak zaman awal dari bermacam-macam jenis pendapatan dan perusahaan yang boleh mendatangkan kekayaan, selain daripada sumber-sumber khusus seperti emas dan perak, pertanian, ternakan dan sebagainya. Diriwayatkan dari Abu Jaa’far Muhammad bin Ali (m.14H) pernah mendengar Ali bin Abi Talib k.w berkata: “Allah swt telah mewajibkan zakat kepada setiap orang kaya yang memiliki harta untuk membantu fakir miskin.” Seandainya fakir miskin itu terbiar kelaparan, kesakitan dan tidak berpakaian, beliau membenarkan orang kaya yang berkenaan dihukum.
Dalam riwayat lain, khalifah Ali bin Abi Talib k.w pernah menyebut perkataan al-Mal dengan sebutan makrifah mufrad (kalimah itu merangkumi pelbagai jenis harta) di samping itu beliau menentukan haul sebagai prasyarat kewajipan berzakat kecuali zakat pertanian. Langkah Ali bin Abi Talib k.w diikuti para sahabat dan tabiin yang lain. Maymun bin Mihram (m.125H) berkata: “Apabila sampai masa membayar zakat, semua harta (Kull Mal) yang dimiliki oleh orang kaya dan pendapatan bersih sahaja yang diwajibkan zakat”. Langkah ini dilanjutkan oleh Tawus (m.106H), di mana beliau berpendapat bahawa zakat diwajibkan kepada orang kaya yang memperoleh harta benda daripada pelbagai sumber.
Kekayaan boleh diperoleh melalui dua sumber. Pertama, melalui sumber tabii (semula jadi) seperti hasil ternakan binatang, pengeluaran pertanian dan hasil logam. Pendapatan sumber tersebut diwajibkan zakat. Selain itu, kekayaan juga boleh diperoleh melalui kerja-kerja perkhidmatan dan kemahiran intelektual. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Setiap orang Islam diwajibkan zakat.” Mereka berkata kepada Rasulullah: “Wahai Nabi Allah, kalau kami tidak memiliki harta, bagaimana?” Jawab baginda: “Berusahalah kamu dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri kemudian bayarlah zakat. “Mereka berkata lagi: “Usaha kami tidak berhasil? Jawab baginda: “Berilah pertolongan kepada orang yang berhajat. “Mereka berkata lagi: “Kalau kami tidak berupaya? Sabda baginda: “Bergiatlah dalam perkara makruf dan mencegah terjadinya keburukan. Sesungguhnya pekerjaan itu bagi kamu adalah sadaqah”
Pada masa ini, seseorang yang menawarkan perkhidmatan akan mendapat upah. Kepakaran yang mereka curahkan itu akan dinilai dengan wang ringgit. Upah atau hasil pendapatan merupakan harta yang wajib dikenakan zakat. Walau bagaimanapun, hadis di atas pada lahirnya memberi makna yang luas kepada konsep zakat kerana zakat yang dimaksudkan oleh hadis itu tidak tertumpu kepada keuntungan harta modal semata-mata atau kepada zakat wajib yang telah ditetapkan sahaja, bahkan ia merangkumi segala pendapatan perkhidmatan yang dilakukan oleh setiap ahli profesional.
Dalam sebuah hadis lain daripada Abu Dharr al-Ghifari (m.31H) bahawa beliau pernah mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w:
Bagaimanakah kami hendak mengeluarkan sadaqah (zakat) sedangkan kami tidak berharta? Baginda bersabda: “Sadaqah itu mempunyai banyak cabang, antaranya ialah mengucap takbir, tasbih, tahmid, istighfar, melakukan amal makruf, membersihkan halangan di jalan, memimpin orang buta, merawat orang bisu dan pekak, menunjuk jalan kepada orang yang sesat dan membantu orang yang lemah. Semuanya ini merupakan cabang-cabang sadaqah yang akan mendapat pahala.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Seorang jururunding yang membimbing pelanggannya akan menggunakan kepakarannya iaitu kalimah tayyibah (perkataan yang baik) untuk mendapat ganjaran. Adi bin Hatim r.a (m.86H) dan Abu Hurairah r.a kedua-duanya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya: “Jauhilah diri kamu daripada seksaan neraka walaupun dengan secebis tamar. Jika kamu tidak memiliki harta benda, maka bersedekahlah dengan kalimah tayyibah”.
Begitu juga dengan jurubina, doktor, guru-guru dan lain-lain. Kesemua khidmat akan dibayar gaji, elaun, bonus dan lain-lain lagi. Apakah pendapatan seperti tersebut tidak diwajibkan zakat? Jika kedua-dua hadis tersebut difahami, maka ini akan hanya diertikan sebagai kerja sosial yang dilakukan secara tatawwu’ (sukarela) atau sebagai ibadah sampingan. Peredaran masa boleh membawa kepada perubahan terhadap kefahaman pengertian hadis tersebut. Perkhidmatan yang dinyatakan dalam hadis tersebut sekarang boleh diperluaskan kepada kerja profesional.
Perkhidmatan tersebut bukanlah kerja sukarela atau ihsan tetapi telah menjadi bidang pekerjaan untuk mendapat upah yang lumayan. Ini bermakna hadis ini memberikan pengertian yang amat rasional dan praktikal sesuai dengan perubahan dunia pekerjaan masa ini.*
Teras zakat menurut al-Quran dan hadis sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini ialah berpaksi kepada “harta” dan “orang kaya”. Prinsip dan tujuan mewajibkan zakat ke atas harta orang kaya ialah supaya sistem zakat dapat mengimbangi pendapatan per kapita dan sistem agihan untuk mewujudkan keadilan ekonomi masyarakat Islam secara berterusan. Justeru, jika seorang petani yang mengusahakan tanaman padi memperoleh antara 350-600 gantang bernilai lebih kurang RM400 hingga RM550 sudah diwajibkan zakat pertanian sebanyak 10% atau 5%, maka wajarkah seorang pegawai atau seorang ahli profesional yang mendapat gaji, elaun dan ganjaran bernilai sebanyak RM1000 hingga RM3000 lebih sebulan tidak diwajibkan zakat? Mereka mestilah membantu golongan yang tidak bernasib baik melalui mekanisme zakat ini. Nabi s.a.w bersabda yang ertinya:
“Tiga golongan akan dimurkai Allah s.w.t: orang telah berkahwin melakukan persetubuhan haram, orang miskin yang pembelit dan orang kaya yang menindas” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Mengikut Abu Darda’ (m.32H):
“Salah satu tanda seseorang itu benar-benar beriman ialah orang yang membela nasib orang miskin”
Antara hikmah zakat ialah membersihkan harta dan jiwa pemiliknya. Adakah petani, penternak dan ahli perniagaan sahaja yang berhati kotor? Adakah golongan ini sahaja yang perlu menyucikan diri dan pendapatan mereka?
Adakah pendapatan penggajian dan pendapatan ahli profesional itu tidak perlu disucikan? Mengapa harta mereka dibezakan dengan harta lain? Mengapakah status kaya tidak dipandang antara petani dan penternak dengan pegawai tinggi dan ahli profesional? Jabir bin Samurah r.a (m.10H) dan Abdullah bin Umar r.a (m.74H) menegaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan zakat kekayaan, maka mereka telah membersihkan diri dan harta mereka. As-Sya’bi pernah membacakan ayat 177 dalam surah al-Baqarah kepada Abu Hamzah agar menjelaskan bayaran zakat sebagai pesanan untuk menjadi orang bertakwa dan berkebajikan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Kebajikan bukan semata-mata kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang itu kepada Allah S.W.T, hari kiamat, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, mendermakan harta kesayangannya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), peminta sedekah, membebaskan hamba abdi, menunaikan solat dan zakat, menepati janji apabila berjanji, tabah dan sabar pada masa kesempitan serta kesakitan dan perang. Mereka inilah orang yang benar-benar membuat kebaikan dan bertakwa” (Surah al-Baqarah 2:177)
Itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t.
(Bersambung pada siri akan datang)
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my