Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu berkaitan dengan harta kekayaan yang merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t. Ini dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran, firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Berikanlah (melalui sistem zakat) kepada (hamba) segala harta yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kamu. (Surah an-Nisa’ 4:39)
Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud:
“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah s.w.t) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah s.w.t): mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid 57:7)
Allah s.w.t juga menjelaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan kewajipan zakat digolongkan sebagai seorang yang benar-benar Muslim dan bersaudara dalam Islam.
Pada zaman Nabi s.a.w, sememangnya harta yang diwajibkan zakat terhad kepada binatang ternakan, pertanian, emas dan perak sahaja, iaitu barangan yang bernilai komersial dan berdaya maju di pasaran ketika itu. Analisis ilmiah patut diterokai ke atas struktur dan klasifikasi harta yang diwajibkan zakat pada masa Nabi Muhammad s.a.w supaya alasan atau ‘illat kewajipan itu dapat diterapkan ke atas pembangunan ekonomi pada masa kini. Sistem zakat jika diselidik dengan lebih mendalam, tidak terdapat satu nas pun yang menghalang atau melarang pertumbuhan zakat yang sedia ada kerana struktur zakat yang berlaku pada masa Nabi s.a.w merupakan contoh iktibar (amthal), dan bukan sebagai batasan (ihsar).
Berdasarkan maksud sebuah hadis: “tidak akan berkurangan sesuatu harta disebabkan kewajipan zakat.” Oleh itu kadar zakat antara 2.5% hingga 10% sudah tentu tidak akan membebankan pembayar zakat. Ia tidak akan mengikis kuantiti harta disebabkan bayaran zakat setiap tahun.
Zakat merupakan ibadah ta’abbudiyyah serta menjadi mekanisme pembangunan sosial dan ekonomi ummah. Secara langsung, ia dikaitkan dengan prinsip “daya maju” (an-Nama’) secara aktif dalam bidang ekonomi. Ia juga dijadikan satu ‘illat atau prasyarat dalam sistem zakat. Dengan prinsip ini, zakat boleh diperluaskan lagi kepada harta lain yang berdaya maju secara semula jadi atau dimajukan dengan secara usaha. Wang atau sesuatu yang sehukum dengannya merupakan harta yang berdaya maju.
Wang merupakan alat timbang tara dan piawaian. Justeru, tahap kekayaan seseorang akan dinilai dengan perantaraan wang. Mengikut Ibnu Rusyd al-Qadi (m.520H) : “Sesuatu kekayaan yang berdasarkan kepada emas dan perak atau sesuatu yang dikaitkan dengan kedua-duanya merupakan modal untuk mencari keuntungan dan bukan digunakan sebagai barang pengguna semata-mata”. Dengan itu, logam dan sesuatu yang sehukum dengannya dikaitkan dengan syarat berdaya maju oleh mazhab Maliki dan mazhab Hanafi yang merupakan kumpulan terpengaruh bagi mewajibkan sesuatu dikenakan zakat. Menurut kedua-dua mazhab tersebut, si piutang tidak perlu berzakat kecuali setelah dilunaskan hutangnya terlebih dahulu.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a (m.101H) berpendapat, harta yang dipinjamkan (hutang tidak terbayar) dikategorikan sebagai harta hilang. Pendapat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang mengecualikan barang-barang kegunaan peribadi. Baginda bersabda yang bermaksud: “Lembu yang digunakan untuk membajak dan pengangkutan dikecualikan daripada zakat”. Ali (m.40H), al-Hasan al-Basri (m.110H), Mujahid (m.103H), an-Nakha’I (m.95H), Musa bin Talhah (m.103H), Umar bin Abdul Aziz, az-Zuhri (m.123H), dan al-Layth bin Sa’ad (m.175H), juga menyokong pengertian hadis tersebut. Golongan Ahl as-Sunnah keseluruhannya menjadikan berdaya maju atau berkembangnya sesuatu harta itu sebagai prasyarat kewajipan zakat. Oleh itu wajar bagi para pengkaji dan sistem zakat menggunakan ‘illat (sebab) an-Nama’. Sungguh menghairankan jika pendapatan ahli profesional, pegawai awam, swasta dan anugerah atau hadiah yang bernilai berjuta-juta ringgit dikecualikan daripada zakat, sedangkan mereka mengaut keuntungan dan kekayaan yang besar.
Dasar haul dan sistem zakat memberi peluang kepada pemilik harta mengembangkan hartanya sepanjang tempoh itu supaya mendapat keuntungan. Dengan langkah itu, harta asal (modal) tidak hanya dijadikan barang pengguna atau untuk membayar zakat yang mana ia akan susut sedikit demi sedikit. Meskipun harta benda lain yang belum dikenakan zakat menjadi kewajipan dan tanggungjawab para fuqaha yang kini membuat kajian semula serta menerokai bidang-bidang baru dalam sistem zakat. Moga-moga pendekatan ini menjadi nadi bagi menghidupkan kembali Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda, ertinya:
“Barang siapa yang menerokai sunnah hasanah (amalan kebaikan), maka pahalanya adalah serupa dengan orang yang mengerjakannya tanpa terkurang sedikit pun. Begitu juga sesiapa yang mempelopori sunnah sayyi’ah (amalan kejahatan), maka akan mendapat dosa seperti penganutnya tanpa dikurangi sedikit pun.”
(Hadis riwayat Muslim)
Zakat al-Mal al-Mustafad
Al-Mal al-Mustafad merupakan zakat ke atas harta benda yang diperoleh hasil daripada kerja dan usaha yang dilakukan seseorang sama ada dalam bentuk gaji, upah, subsidi, elaun, pemindahan dan lain-lain lagi. Zakat ini merupakan zakat yang telah lama diperkenalkan.
Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa al-Mal al-Mustafad boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan iaitu:
Hasil daripada usaha perdagangan atau ternakan secara individu atau bersyarikat, keuntungan jualan atau pembiakan ternakan atau dikira sebagai al-Mal al-Mustafad. Pendapatan itu dicampurkan dengan modal induk dan jumlahnya dikira bersama. Penambahan harta tersebut termasuk harta yang boleh dikenakan zakat.
Pendapatan melalui ganjaran atau upah daripada sesuatu pekerjaan atau perkhidmatan yang telah disempurnakan oleh ahli profesional tetapi tidak termasuk dalam kategori perniagaan seperti upah doktor, akauntan, jurubina, perunding cara, royalti dan lain-lain. Pendapatan mereka itu tidak termasuk dalam struktur zakat yang sedia ada.
Pendapatan berasaskan kepada kerja bermajikan semata-mata yang mana menerima bayaran upah atau al-Mal al-Mustafad atau sagu hati atau sesuatu yang seumpamanya daripada majikan. Pendapatan tersebut tidak termasuk dalam struktur zakat yang sedia wujud.
Pendapatan berasaskan kepada keadaan kematian, perkahwinan dan tamat tempoh perkhidmatan berupa hadiah, pusaka, subsidi atau yang dinamakan dengan pendapatan pindahan dan lain-lain. Dalam hal ini, tidak terdapat nas yang jelas dalam struktur kewajipan zakat yang sedia ada.
Waallahu a’lam.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my