CUKUP NISAB
Dalam Islam, kewajipan menunaikan zakat tidak dinilai daripada sejauh mana kekayaan seseorang, tetapi sebaliknya ia dinilai daripada sejumlah tertentu dari harta yang telah mencapai jumlah ditetapkan yang disebut sebagai ‘nisab’. ‘Nisab’ seperti mana yang diterangkan hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut tentang kewajipan mengeluarkan zakat ke atas unta yang mencapai jumlah lima ekor serta kambing yang berjumlah empat puluh ekor. Bilangan unta dan kambing tersebut wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana telah cukup ‘nisab’. Begitu juga tanaman (seperti padi bagi di negara ini) adalah sebanyak 5 ausuq yang bersamaan dengan 400 gantang Baghdad.
Syeikh Dahlawi telah menjelaskan berkenaan hikmah ditentukan nisab ini berdasarkan kata-katanya seperti berikut, “Ditetapkan 5 ausuq bijian dan kurma itu kerana ianya bersesuaian dengan keperluan minimum dalam sesebuah rumah tangga untuk tempoh setahun. Dalam sebuah keluarga, terdapat suami, isteri, dan anak-anak dan jumlah makanan asasi yang dimakan oleh sesebuah keluarga adalah satu gantang atau satu kati beras sahaja bagi setiap seorang. Jumlah yang dimakan tersebut sudah mencukupi bagi tempoh setahun dan lebihan dari itu mungkin dijadikan simpanan atau lauk-pauk dan lebihan inilah yang akan dikenakan zakat. Bagi wang perak pula, wajib dikeluarkan zakat apabila beratnya menyamai atau melebihi 595g atau 176 mayam (200 dirham). Jumlah tersebut adalah mencukupi untuk keperluan sesebuah keluarga dalam tempoh setahun dan zakat yang dikeluarkan tidak sedikit pun menjejaskan keperluan atau merugikan sesebuah keluarga.
Manakala jumlah unta yang wajib dizakatkan ialah apabila jumlahnya sebanyak 5 ekor dan ke atas. Bagi 5 ekor unta, jumlah zakatnya adalah sebanyak 1 ekor kambing. Walaupun dari segi prinsipnya, zakat itu perlu dibayar dari jenis yang sama dengan apa yang dizakatkan sebagai contoh unta perlu dibayar dengan unta, tetapi unta merupakan binatang yang terlalu banyak manfaatnya yang mana kita boleh gunakannya sebagai makanan, diambil susunya, kulitnya dijadikan pakaian dan sebagainya. Oleh sebab itulah, zakat bagi unta digantikan bayarannya dengan kambing dengan tujuan untuk mengurangkan beban pemilik unta tersebut.
Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa sesuatu harta itu haruslah cukup nisabnya untuk dikenakan zakat kecuali dalam hasil tanaman, buah-buahan, emas, dan perak. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa setiap tanaman harus dikenakan zakat sebanyak sepuluh peratus walaupun jumlah tanamannya sedikit atau banyak. Begitu juga pendapat daripada Ibnu Abbas, Umar bin Abdul Aziz dan lain-lain, bahawa dalam 10 ikat hasil tanaman, harus dikeluarkan zakat sebanyak satu ikat (10%) dari tanaman tersebut. Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat bahawa nisablah yang merupakan penentuan bagi sesuatu kekayaan itu untuk dikenakan zakat tidak kiralah sama ada kekayaan itu hasil daripada tumbuhan di tanah ataupun bukan. Pendapat jumhur ulama ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w iaitu “ Di bawah lima ausaq, tidak ada zakatnya”. Berdasarkan kepada hadis ini, para ulama membuat kiasan dengan kekayaan-kekayaan yang lain seperti binatang ternakan, wang dan barang-barang perniagaan.
Hikmah ditentukan kadar nisab ini jelas menunjukkan bahawa, zakat merupakan cukai atau perolehan yang dikenakan ke atas orang yang memiliki kekayaan untuk membantu orang miskin dan untuk pembangunan Islam secara keseluruhannya. Oleh sebab itulah zakat dikenakan kepada orang yang mampu sahaja dan tidak dikenakan kepada orang yang tidak berkemampuan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
‘Tidak dikenakan zakat melainkan hanya kepada orang kaya’
Sekian terima kasih.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my