SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN ‘BEBAS DARI HUTANG’

BEBAS DARI HUTANG

Apa yang dimaksudkan dengan pemilikan sempurna ialah sesuatu harta itu haruslah melebihi dari keperluan asas seperti pakaian, makanan, dan tempat tinggal dan ia seharusnya cukup nisab dan bebas dari hutang. Sekiranya semua syarat ini dipenuhi, barulah harta itu diwajibkan zakat keatasnya. Bagi seseorang yang menanggung beban hutang yang mana hutang itu mengurangkan nisabnya, maka hutang itu haruslah dibayar terlebih dahulu sebelum harta itu boleh dikira sebagai harta yang wajib dizakatkan. Walaubagaimanapun, terdapat segelintir ulamak yang berbeza pendapat dalam memahami konsep “harta yang diwajibkan zakat” ini. Faktor perbezaan pendapat ini adalah kerana mereka memahami erti zakat, cara pembayaran zakat dan sebagainya secara berbeza.

Terdapat dua pendapat ulamak dalam memahami perkara ini. Pandangan yang pertama terdiri daripada ulamak yang berpandangan bahawa zakat adalah hak fakir miskin. Zakat tidak diwajibkan ke atas orang yang memiliki hutang kerana mereka berpendapat hak orang yang menerima hutang adalah lebih utama daripada hak orang miskin untuk menerimanya. Kekayaan itu sebenarnya adalah hak milik orang yang menerima hutang dan bukannya hak orang yang berhutang.

Pendapat yang kedua adalah ulamak yang mengatakan bahawa zakat merupakan suatu ibadat yang dikenakan ke atas orang yang memiliki kekayaan walaupun orang itu mempunyai hutang. Hal ini kerana, menurut mereka, kekayaan seseorang merupakan syarat yang menyebabkan seseorang itu wajib membayar zakat walaupun ia berhutang. Mereka berpandangan bahawa dalam hal tersebut, bertemu dua kepentingan iaitu hak Allah dan hak manusia, justeru hak Allah haruslah didahulukan iaitu dengan membayar zakat. 

Menurut Ibnu Rushd pula, beliau berpandangan bahawa beban membayar zakat haruslah digugurkan kepada orang yang memiliki hutang. Pandangan beliau ini didasari oleh nas-nas yang kuat, dan dasar syariat mengenai kekayaan, baik kekayaan yang kukuh ataupun tidak. Pandangan beliau adalah seperti berikut:

Hak milik orang yang berhutang itu sebenarnya adalah lemah. Hal ini kerana orang yang menerima hutang mempunyai hak ke atas harta tersebut dan boleh memintanya pada bila-bila masa sahaja. Menurut mazhab Hanafi, orang yang menerima hutang berhak mengambil semula hartanya daripada “si berhutang” dalam bentuk apa sekalipun asalkan nilainya sama dengan hutang yang harus dibayar kepadanya. Sebagaimana yang diketahui, kita telah sedia maklum bahawa syarat harta yang wajib dizakatkan ialah harta tersebut merupakan milik penuh pemiliknya. Dalam hal ini, harta tersebut bukanlah milik penuh pemiliknya kerana sebahagian hartanya adalah hak milik orang yang menerima hutang.

Orang yang paling layak untuk dikenakan zakat ialah orang yang menerima hutang tersebut. Hal ini kerana, hutang itu merupakan harta miliknya dan dia berhak ke atas harta tersebut. Ini merupakan pendapat jumhur ulamak. Sekiranya hutang itu harus dibayar oleh orang yang berhutang, hal ini akan menyebabkan satu kekayaan akan dizakatkan sebanyak dua kali dan akan menyebabkan pertindihan yang dilarang oleh syarak.

Orang yang berhutang merupakan orang yang layak menerima zakat kerana dia termasuk dalam kategori orang yang miskin. Oleh sebab itulah ia tidak dikenakan zakat. Mana mungkin seseorang yang layak menerima zakat diwajibkan zakat ke atasnya.

Sedekah hanya diwajibkan ke atas orang yang kaya sahaja sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Orang yang berhutung tidak tergolong dalam orang yang memiliki kekayaan kerana dia wajib menjelaskan hutangnya terlebih dahulu yang boleh menyiksakan jiwanya kerana terpaksa memikirkan hutangnya siang dan malam.

Secara umumnya, kewajipan menunaikan zakat bertujuan untuk membantu orang-orang yang berada dalam kesulitan. Orang yang berhutang merupakan orang yang berada di dalam kesulitan. Sekiranya dia diwajibkan untuk membayar zakat, sudah tentu keadaan ekonominya akan bertambah buruk. Justeru tidak adil sekiranya kesusahan seseorang diabaikan semata-mata untuk menutup kesusahan orang lain. Rasulullah bersabda dalam hadithny yang bermaksud:

“Dahulukan dirimu, kemudian barulah orang yang berada dibawah tanggunganmu”

Syarat-syarat hutang yang menggugurkan kewajipan zakat

Syarat yang tidak ada perselisihannya di kalangan ulamak ialah apabila sesuatu hutang itu mengurangi atau menghabiskan jumlah nisab. Sebagai contohnya ialah, jika seseorang mempunyai wang sebanyak RM1000, sedangkan hutangnya lebih dari itu, maka hutangnya itu telah mengurangkan nisab dan wang itu tidak dikenakan zakat ke atasnya.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial