Sesuatu harta itu ditentukan kewajipan zakat ke atasnya berdasarkan kepada sejauh mana berkembangnya harta tersebut sama ada ianya berkembang secara sengaja ataupun tidak. Maksud “berkembang” menurut bahasa ialah sesuatu harta yang memberikan keuntungan atau pendapatan kepada seseorang. Harta itu juga dikira berkembang sekiranya ia bertambah dengan sendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh ahli fiqh.
Dari sudut istilah pula, takrif “berkembang” boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulama. Takrif yang pertama ialah “bertambah dengan kukuh” iaitu bertambahnya harta melalui perkara-perkara seperti pelaburan dan perdagangan. Takrif yang kedua pula ialah “bertambah dengan tidak kukuh” iaitu sesuatu kekayaan yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan baik sama ada ianya berada di tangan tuannya sendiri ataupun harta tersebut diamanahkan kepada orang lain.
Maksud Disyaratkan Kekayaan itu Berkembang
Menurut Ibnu Humam, takrif “zakat” dan takrif “zakat disyaratkan” adalah sesuatu yang berlainan. Menurut beliau, takrif asal zakat ialah “pemberian beban atas kekayaan” iaitu pemberian pertolongan kepada orang miskin sejumlah harta yang datangnya daripada lebihan dari kekayaan seseorang, di mana pertolongan itu tidak akan membebankan pemberi harta tersebut. Mewajibkan zakat ke atas harta yang bersifat “tidak mungkin berkembang” mungkin akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya jika ia terjadi saban tahun bilamana ia digunakan untuk perbelanjaan sehari-hari. Oleh yang demikian, kita dapat melihat betapa benarnya sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak akan berkurangan kekayaan kerana zakat”. Hal ini kerana zakat itu hanyalah sejumlah kecil dari harta yang wajib dikeluarkan, hasil daripada jumlah kekayaan yang banyak, berkembang, dan dimodalkan, di mana menurut sunnah Rasulullah pemberian itu tidak akan mengurangkan harta seseorang walaupun sedikit.
Alasan Ulama Menetapkan Syarat Tersebut
Ulama telah menetapkan syarat supaya sesuatu harta itu mestilah berkembang untuk diwajibkan zakat ke atasnya. Penetapan syarat tersebut adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah dan amalan para sahabat. Rasulullah tidak mewajibkan zakat ke atas kekayaan yang digunakan untuk kepentingan atau kegunaan peribadi seseorang sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan zakat dari kuda atau budaknya”
Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini merupakan landasan yang menunjukkan bahawa sesuatu harta yang bertujuan untuk kegunaan peribadi tidak diwajibkan zakat. Rasulullah hanya mewajibkan zakat ke atas harta yang berkembang dan di laburkan sahaja. Di Negara Arab dahulunya, kekayaan seperti ini ada bermacam jenis antaranya ialah:
1- Ternakan yang di gembala seperti unta, lembu/sapi, dan kambing
2- Wang emas dan perak di mana sebahagian orang memperdagangkannya atau disimpan
3- Hasil pertanian dan buah-buahan terutamanya makanan ruji seperti biji gandum, kurma, dan anggur.
4- Harta karun yang disembunyikan oleh orang-orang terdahulu yang kemudiannya ditemui. Walau bagaimanapun, ulama berselisih pendapat dalam mengkategorikan harta tersebut sama ada ianya dikenakan zakat atau tidak.
Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa setiap harta yang berkembang hasil daripada usaha seseorang wajib dikenakan zakat. Sebagai contohnya ialah ternakan yang diusahakan berkembang kerana faktor-faktor seperti diberi rawatan, diberi makan, kemudian melahirkan anak dan menghasilkan susu. Perkembangan ternakan ini adalah bersifat semula jadi kerana ia bertambah banyak seiring dengan pertambahan daging, susu, dan sebagainya.
Harta benda perdagangan yang mendatangkan keuntungan pula berkembang bukan secara semula jadi. Hal ini kerana pelaburan memerlukan usaha seseorang untuk menjana keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seperti melaburkannya, menjalankan perniagaan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ulama amat bersetuju dengan usaha-usaha tersebut kerana melalui perdagangan akan dapat menghasilkan pekerjaan dan memberikan keuntungan.
Islam melihat pengembangan harta seperti ini adalah halal dan amat baik. Selain itu,wang juga merupakan kekayaan yang berkembang kerana ia merupakan pengukur nilai barangan, alat perantara sesuatu transaksi, dan menjadi lambang sesuatu barang. Apabila wang itu dilaburkan untuk urusan perniagaan, ia akan mendatangkan keuntungan dan memberikan pulangan. Tetapi sekiranya wang itu hanya disimpan dan tidak dilaburkan, maka penyimpannyalah yang bertanggungjawab kerana telah membekukan harta tersebut dari memperoleh keuntungan. Islam tidak menggalakkan umatnya untuk membekukan harta. Justeru Islam telah mengelakkan pembekuan harta ini dengan mengenakan zakat ke atas harta tersebut supaya ianya dapat kembali beredar di pasaran dan dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi umat Islam khususnya.
Syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh ini adalah berlandaskan kepada petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah dan khulafa’ ar-Rashidin dan ianya amat bertepatan dengan definisi zakat itu sendiri. Hal ini kerana zakat menurut bahasa ialah berkembang. Harta yang dikeluarkan itu disebut zakat adalah kerana jumlah zakat yang dikeluarkan itu pada akhirnya akan mendapat berkat dan berkembang sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesuatu yang kalian berikan akan dibalas berlipat kali ganda oleh Allah” (Al-Quran 30:39)
Dari sudut pandangan yang lain pula, zakat itu sebenarnya hanya wajib dikeluarkan daripada harta yang berpotensi untuk berkembang sahaja. Oleh sebab itu, barangan yang digunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak mempunyai potensi untuk dikembangkan tidak diwajibkan zakat.
Kekayaan Yang Tidak Dapat Dikembangkan
Apabila sudah ditetapkan bahawa hanya harta yang berkembang sahaja yang diwajibkan zakat, maka timbul persoalan adakah harta yang tidak dapat dikembangkan wajib dikenakan zakat? Harta yang tidak dikembangkan ini dikhuatiri akan habis sekiranya digunakan setiap hari. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada faktor kenapa harta itu tidak dapat dikembangkan. Terdapat dua faktor yang memungkinkan harta itu tidak dapat berkembang iaitu pertamanya adalah kerana memang kerana harta itu tidak dapat dikembangkan dan faktor yang keduanya adalah kerana kelemahan pemiliknya sendiri.
Mengikut faktor yang pertama, harta tersebut memang tidak dapat dikembangkan mungkin disebabkan harta itu dicuri oleh orang lain, ataupun harta tersebut mungkin tertanam di tempat yang tidak diketahui atau lainnya yang mana perkara tersebut memang di luar kekuasaan pemilik dan faktor inilah yang menjadikan zakat tidak diwajibkan ke atas harta tersebut. Tetapi sekiranya harta itu tidak dikembangkan berpunca daripada kelemahan pemiliknya, maka Islam tidak dapat memaafkan individu terbabit. Oleh sebab itulah, Islam menetapkan orang seperti ini wajib juga mengeluarkan zakat tanpa mengira apa pun alasan yang menyebabkan dia tidak mengembangkan harta tersebut. Hal ini kerana, setiap Muslim dituntut untuk mengembangkan harta dan kekayaannya melalui pelbagai cara yang dihalalkan untuk mengembangkannya, baik dengan menguruskannya sendiri ataupun bekerjasama dengan orang lain.
Seseorang Muslim tidak seharusnya merasa tidak yakin kepada diri untuk melakukan sesuatu perkara tetapi sebaliknya dia haruslah bersedia dan berkeyakinan untuk menghadapi segala rintangan. Perasaan tidak berupaya melakukan sesuatu menurut Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk membebaskan pemilik kekayaan dari kewajipan berzakat, tetapi sebaliknya harus dijadikan cabaran untuk meningkatkan prestasinya. Oleh sebab itu, terdapat hadis yang mana Rasulullah telah berdoa supaya terhindar dari ketidakupayaan, melarang perbuatan tersebut, dan tidak menyukai orang yang mempunyai sifat tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah di dalam sahih Bukhari yang bermaksud:
“Ya Allah aku berlindung kepada mu dari tidak berdaya dan kemalasan”.
Hadis riwayat Abu Hurairah:
“Kejarlah segala yang memberi keuntungan kepada mu, minta tolonglah kepada Allah, dan janganlah kau merasa tidak berdaya”.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my