Muqadimah:
Prasyarat dalam menentukan sesuatu harta kekayaan itu wajib dikeluarkan zakat antaranya ialah milik sempurna. Sebelum kita mengkaji lebih mendalam prasyarat ini ada baiknya kita perhatikan kepada asas kewujudan kekayaan ini yang asalnya adalah datang dari kurniaan Allah swt.
Kekayaan pada dasarnya adalah milik Allah swt. Allah swt yang menciptakannya dan mengurniakannya kepada manusia. Al-Quran telah memperingatkan perkara dasar ini iaitu hubungan kekayaan itu dengan pemilik yang sebenarnya iaitu Allah swt melalui firmannya di dalam surah an Nur ayat 33 yang bermaksud:
“Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu”
Begitu juga firman Allah swt di dalam surah al-‘Ali Imran ayat 180 yang bermaksud :
“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka”.
Allah swt juga menegaskan kedudukan manusia dalam hubungan dengan harta kekayaan ini. Hubungan itu adalah kedudukan manusia sebagai kuasa atau penyimpan harta kekayaan. Ini boleh diperhatikan di dalam surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil”
Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah swt telah menjadikan manusia sebagai khalifah dalam mentadbir urusan dunia termasuklah harta kekayaan yang dikurniakan olehNya. Kekayaan tersebut dijadikan oleh Allah swt sebagai hadiah ataupun cubaan dan dugaan untuk manusia di bumi ini dan manusialah sebagai pemiliknya.
Dalam meneliti definisi prasyarat milik sempurna ini, ia terdiri daripada dua perkataan, pemilikan dan sempurnanya pemilikan itu. Istilah bagi “pemilikan” ini adalah menguasai dan dapat digunakan. Dalam kamus al-Mu’jam al-Wasith disebutkan bahawa memiliki sesuatu yang membawa maksud menguasai dan ia dapat digunakannya. Pengertian ini sama ertinya dengan istilah yang diguna pakai oleh fuqaha’ sebagai contoh Sheikh Kamal bin Humam di dalam karangannya al-Fath mengertikan pemilikan itu “dapat menggunakan sesuatu itu sebagai haknya, bilamana tidak wujud hal-hal yang menghalangi” . Imam Qarafi di dalam kitabnya al-Furuq ada menyebutkan pemilikan itu sebagai “ketentuan hukum yang terdapat di dalam benda atau manfaat yang memberikan hak kepada orang yang memilikinya untuk menggunakannya, diambil manfaat atau meminta penggantiannya selama tidak terdapat hal-hal yang menghalangnya.”
Bagi perkataan “sempurna” pula, kekayaan itu haruslah berada di bawah penguasaan dan di dalam kekuasaannya atau seperti mana yang telah dinyatakan sebahagian fuqaha’ “kekayaan itu harus berada di tangannya, tidak tersangkut di dalamnya hak orang lain, dapat ia menggunakannya dan faedahnya dapat dinikmati”
Hikmah ditetapkan syarat tersebut:
Hikmah ditetapkan syarat milik sempurna ini adalah kerana pemilikan adalah nikmat yang paling besar sekali. Ia berkait rapat dengan syarat yang kedua dalam syarat wajib zakat iaitu merdeka. Ini kerana pemilikan melambangkan seseorang itu merdeka dari sudut sosial kehidupannya berbanding seorang hamba tidak mampu memiliki harta kerana hal keadaannya sebagai hamba. Pemilikan juga membezakan kelebihan yang diberikan Allah swt kepada manusia berbanding binatang kerana keupayaan untuk memiliki harta kekayaan yang ada. Dengan kekayaan itu dapatlah manusia memenuhi segala keperluan hidup mereka seharian.
Dengan pemilikan itu juga membuatkan manusia dapat menggunakan, menanam dan mengembangkan kekayaannya sendiri atau melalui orang lain. Nikmat besar yang diberikan ini membuatkan manusia seharusnya berterima kasih kepada Yang Maha Mengurniakan dan wajarlah apabila Islam mewajibkan pemilik harta kekayaan ini berzakat dan dan mengeluarkan hak kekayaan yang dimilikinya kepada golongan yang berhak menerima sebagai tanda kesyukuran dan penghambaan kepadaNya.
Harta kekayaan yang tidak mempunyai pemilik tertentu:
Berdasarkan penerangan di atas, kekayaan yang tidak mempunyai pemilik (yang dimaksudkan ialah pemilik yang khusus), maka kekayaan itu tidak wajib dizakatkan. Sebagai contoh harta kekayaan pemerintah yang berasal dari hasil kutipan zakat atau hasil pendapatan seperti cukai atau sumber-sumber lain untuk kepentingan rakyat, Ini kerana kekayaan itu tidak ada pemilik khususnya dan ia adalah milik seluruh rakyat termasuklah orang-orang miskin.
Harta haram tidak wajib zakat:
Harta kekayaan yang diperoleh dengan cara yang tidak baik dan haram tidak termasuk dalam harta yang diwajibkan zakat. Sebagai contoh kekayaan yang diperoleh dari cara perampasan, pencurian, penipuan, penyogokan, riba dan lain-lain yang diperoleh dengan cara yang tidak benar dan melanggar syarak. Hakikatnya, kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dianggap bukan harta milik seseorang itu sekalipun seseorang itu mencampurkan ke dalam kekayaannya yang sah sehingga tidak mampu untuk dipisah-pisahkan di antara kedua-duanya.
Para ulama berkata bahawa seandainya sesuatu kekayaan yang diperoleh dengan cara tidak sah dan kotor cukup nisabnya, maka zakat tidaklah wajib ke atas kekayaan itu. Ini berdasarkan kepada hadis shahih Nabi saw bersabda yang bermaksud:
“Tidak diterima sedekah (zakat) dari kekayaan yang ghulul”
“Ghulul” bererti kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dari kekayaan umum.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my