TAKLIMAT PEMERKASAAN ZAKAT PENDAPATAN DAN WAKAF PENJAWAT AWAM NEGERI PAHANG 2024

Kuantan, 7 November 2024 – Program telah berjaya diadakan di 11 daerah di seluruh negeri Pahang. Program yang merupakan kerjasama antara Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman penjawat awam mengenai pentingnya pembayaran zakat dan sumbangan wakaf secara sistematik melalui potongan gaji.

Program ini bermula di Daerah Kuantan dan berakhir di Daerah Jerantut, melibatkan daerah-daerah lain seperti Pekan, Bentong, Maran, Rompin, Lipis, Temerloh, Bera, Raub, dan Cameron Highlands. Sepanjang siri taklimat ini, sejumlah 1687 orang penjawat awam telah hadir, menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam usaha memperkasakan amalan zakat dan wakaf di kalangan penjawat awam di negeri ini.

Dalam program ini, sebanyak 513 orang penjawat awam telah membuat keputusan untuk memulakan potongan gaji untuk zakat pendapatan mereka, sementara 436 orang lagi telah menambah jumlah potongan zakat mereka. Secara keseluruhan, jumlah potongan zakat yang dikutip bagi program ini mencecah RM29,140.58.

Selain itu, program ini juga menyaksikan kejayaan yang signifikan dalam pengumpulan dana wakaf. Seramai 538 orang penjawat awam baru mendaftar untuk membuat potongan gaji wakaf, manakala 545 orang lagi menambah jumlah potongan wakaf mereka. Jumlah keseluruhan sumbangan wakaf yang diperoleh daripada potongan gaji sepanjang taklimat ini adalah sebanyak RM6,049.00.

keberhasilan program ini adalah hasil daripada sokongan padu penjawat awam dalam menjayakan usaha kutipan zakat dan wakaf. Inisiatif ini juga dijangka dapat membantu meningkatkan kutipan zakat dan wakaf di negeri Pahang, serta memperkukuhkan kesedaran mengenai kepentingan menunaikan kewajipan zakat dan menyumbang kepada pembangunan sosial melalui wakaf.

Program Taklimat Pemerkasaan Zakat Pendapatan dan Wakaf ini berakhir dengan jayanya di Daerah Jerantut, setelah berjaya menyampaikan maklumat dan mendekatkan penjawat awam dengan amalan zakat dan wakaf yang bermanfaat. Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang berharap lebih ramai lagi penjawat awam akan terus menyokong dan terlibat dalam program-program seumpama ini bagi memastikan amalan zakat dan wakaf terus berkembang dan memberi impak yang positif kepada masyarakat di Negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial