TUANKU AGONG BERANGKAT KE MAJLIS SERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN SIRI 3 2023

KUANTAN, 23 OKTOBER 2023: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat yang berlangsung di Astana Ballroom, Hotel Grand DarulMakmur, Kuantan. Turut berangkat paduka anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang merupakan Timbalan Yang Dipertua MUIP.

Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Al-Sultan Abdullah berkenan menyaksikan serahan zakat daripada tiga badan korporat berjumlah lebih RM8.4 juta kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal selaku Yang Dipertua MUIP. Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) mendahului serahan zakat berjumlah RM4 juta yang telah diserahkan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PSK, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob. Diikuti Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dengan sumbangan zakat sebanyak RM2.42 juta yang diserahkan oleh Pengerusi KOSMA, YH. Dato’ Haji Zamri Haji Mohamed. Manakala Mr Bentong World Trading yang diwakili pengasasnya, Encik Hafiz Oon Jun Seong telah menyerahkan zakat berjumlah RM2 juta.

Terdahulu kedua baginda berkenan menghadiri Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-190 di lokasi sama.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua pihak yang melaksanakan ibadah zakat perniagaan mereka dan didoakan semoga semakin bertambah keberkatan diperolehi di masa mendatang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial