ZAKAT KWSP

KWSP diwajibkan zakat serta-merta apabila pencarum mengeluarkan wang tersebut (sama ada ketika bersara, membeli rumah dan sebagainya) dan jumlah pengeluaran mestilah mencapai atau melebihi nisab. Permulaan tarikh haul diambil kira apabila cukup nisab dari jumlah simpanan yang dicarum.

NISAB DAN KADAR ZAKAT KWSP

Nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran.

DALIL DAN FATWA ZAKAT KWSP

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: Tidak dikenakan zakat pada emas sehingga jumlahnya 20 mithqal, manakala perak pula 200 Dirham.Ini berdasarkan hadis daripada Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya“Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”– Riwayat Abu Daud (1573)

Berdasarkan hadis kadar zakat emas dan perak jika dikira ialah sebanyak 2.5%.

Kesimpulannya, zakat simpanan dikira sebanyak 2.5% seperti mana zakat emas dan perak dan diambil kira baki terendah dalam simpanan seseorang yang telah cukup syarat-syaratnya. Manakala untuk pembayaran zakat KWSP, Keputusan Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang 1/2021 telah memutuskan ketetapan seperti berikut:

  • Zakat KWSP adalah wajib ke atas umat Islam apabila simpanan yang dikeluarkan mencukupi nisab, milik sempurna (al-Milk al-Tam) dan bukan pengeluaran berkaitan keperluan asasi (Hajah Asliah).

  • Zakat KWSP hendaklah dibayar selepas penerimaan secara serta-merta tanpa menunggu haul satu tahun berdasarkan kaedah zakat al-Mal al-Mustafad.

  • Ahli beragama Islam yang tidak mengeluarkan sepenuhnya simpanan yang boleh dikeluarkan, baki simpanan tersebut adalah tertakluk kepada Zakat Wang Simpanan berdasarkan syarat-syarat zakat tersebut.

  • Pengeluaran KWSP disebabkan kematian tidak wajib dikeluarkan zakat kerana ia menjadi harta pusaka.

KAEDAH KIRAAN ASAS

Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah keseluruhannya
iaitu:

Pokok + Dividen, tanpa perlu diasingkan (tidak perlu pembersihan) pulangan dividen atau bonus yang tidak patuh syariah.

Contohnya:
Amaun Asal Simpanan           : RM100,000.00
Perolehan Dividen (10%)       : RM10,000.00
RM110,000.00 x 2.5%            = RM2,750 sahaja

MUZAKARAH BERSETUJU MEMUTUSKAN BAHAWA KWSP TIDAK DIWAJIBKAN UNTUK MELAKUKAN PENYUCIAN TERHADAP DIVIDEN SIMPANAN SEMUA AHLI KWSP YANG BERSETUJU UNTUK BERTUKAR KE AKAUN KWSP-ISLAMIK

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2015.

KAEDAH KIRAAN KWSP (KONVENSIONAL)

(Bagi mana-mana individu yang ingin melakukan kaedah penyucian dividen)

Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah:

Pokok + Dividen Patuh Syariah *(rujuk kadar penyucian dividen) + Bonus x 2.5% 

Contohnya:
Amaun Asal Simpanan           : RM100,000.00
Perolehan Dividen (10%)       : Rm10,000.00
31% dari RM10,000                = RM3,100 (Patuh Syariah)
69% dari RM10,000                = RM6,900 (Tidak Patuh Syariah)

Kiraan zakat yang diambil kira adalah:

RM100,000 + RM3,100 x 2.5% = RM2,577.50 sahaja

*Kadar penyucian dividen KWSP Konvensional

2017: 64% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2018: 68% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2019: 71% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2020: 69% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2021: 69% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2022: 73% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
2023: 66% daripada jumlah keseluruhan dividen yang diperolehi.
Sumber: https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/akaun-pengguna/simpanan-shariah

KAEDAH KIRAAN ZAKAT KWSP (melalui skim-skim tertentu)

Skim Pengeluaran Umur 50 Tahun

  • Pencarum beragama Islam berusia 50 tahun dan membuat pengeluaran amaun separuh/amaun tertentu daripada akaun 2, maka WAJIB dikira keatas keseluruhan jumlah akaun 2 tersebut walaupun hanya mengeluarkan amaun tertentu.

  • Pengeluaran KWSP umur 50 tahun (akaun 2) adalah tertakluk kepada zakat al-Mal al-Mustafad dan WAJIB dizakatkan keseluruhan amaun pada kadar 2.5%.

  • Pengeluaran akaun 2 tersebut termasuk dalam taksiran zakat pendapatan bagi tahun semasa.

Contohnya:

Jumlah Keseluruhan Akaun 2: RM40,000

Pengeluaran

Zakat Tahun Pertama

Zakat Tahun Seterusnya

RM40,000

RM40,000 x 2.5% = RM1,000

Tiada

RM10,000

RM40,000 x 2.5% = RM1,000

Tiada

Tiada

RM40,000 x 2.5% = RM1,000

Mengikut taksiran zakat wang simpanan

Skim Pengeluaran Umur 55 Tahun

Pencarum yang genap umur 55 tahun, kesemua caruman akaun 1 dan 2 boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Maka WAJIB baginya membayar zakat serta-merta ke atas keseluruhan pengeluaran tersebut mengikut kategori zakat al-Mal al-Mustafad (tahun pertama) dan apabila berlalu tempoh setahun maka ianya tertakluk pula kepada Zakat Wang Simpanan sekiranya masih berbaki dan mencukupi syarat-syaratnya.

Contohnya:

Jumlah Keseluruhan Akaun 1 dan 2: RM340,000

Pengeluaran

Zakat Tahun Pertama

(Zakat Pendapatan)

Zakat Tahun Seterusnya

(Zakat Wang Simpanan)

RM340,000

RM340,000 x 2.5% = RM8,500

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan sekiranya masih mempunyai baki

RM10,000

RM340,000 x 2.5% = RM8,500

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan sekiranya masih mempunyai baki

Tiada

RM340,000 x 2.5% = RM8,500

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan

Skim Pengeluaran Umur 60 Tahun

Pencarum yang genap umur 60 tahun. Semua pengeluaran akaun emas (caruman daripada umur 55 hingga 60) dikenakan zakat mengikut kategori zakat al-Mal al-Mustafad (tahun pertama) dan apabila berlalu tempoh setahun maka ianya tertakluk pula kepada Zakat Wang Simpanan sekiranya masih berbaki dan mencukupi syarat-syaratnya.

Contohnya:

Jumlah Keseluruhan Akaun Emas: RM70,000

Pengeluaran

Zakat Tahun Pertama
(Zakat Pendapatan)

Zakat Tahun Seterusnya
(Zakat Wang Simpanan)

RM70,000

RM70,000 x 2.5% = RM1,750

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan sekiranya masih mempunyai baki

RM10,000

RM70,000 x 2.5% = RM1,750

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan sekiranya masih mempunyai baki

Tiada

RM70,000 x 2.5% = RM1,750

Mengikut taksiran Zakat Wang Simpanan

Wang KWSP yang masih berbaki tertakluk kepada Zakat Wang Simpanan iaitu perlu dikira bersama dengan simpanan-simpanan yang lain.

KAEDAH KIRAAN ZAKAT KWSP (Pengeluaran Akaun Fleksibel-Akaun 3)

Akaun Fleksibel adalah akaun baru dalam sistem KWSP yang terdiri daripada 10% daripada jumlah simpanan ahli. Tujuannya adalah untuk memberikan akses kepada simpanan bagi keperluan kewangan mendesak.

Ahli boleh mengeluarkan simpanan dari Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP.

Contoh Situasi Bagi Pengeluaran Akaun Fleksibel-Akaun 3:

Situasi

Keterangan

Contoh Kiraan Asas

Pembayar Zakat Pendapatan

Wajib zakat walaupun jumlah pengeluaran kurang daripada nisab

Pengeluaran Akaun 3: RM1,000
RM1,000 X 2.5% = RM25.

Bukan Pembayar Zakat Pendapatan

Wajib taksir zakat pendapatan dengan mencampurkan jumlah keseluruhan pendapatan + jumlah keseluruhan akaun 3

Jumlah Pendapatan Tahun 2024: RM25,000 Jumlah Keseluruhan Akaun 3: RM1,000Nisab semasa zakat pendapatan: RM25,767.72
Jumlah pendapatan yang perlu ditaksir
RM25,000 + RM1,000 = RM26,000
RM26,000 x 2.5% = RM650

Pengeluaran Untuk Keperluan Asasi (Hajah Asliyah)

Tidak wajib zakat
Bagi yang membuat pengeluaran disebabkan menghadapi masalah kewangan seperti hilang pendapatan, dibuang kerja dan seumpamanya, dan perlu mengunakan wang pengeluaran tersebut untuk menampung keperluan asasi (Hajah Asliyah)

Zakat Wang Simpanan
Individu yang tidak mengeluarkan sebarang amaun dari akaun tersebut adalah tertakluk kepada kaedah 1 dan 2. Dan sekiranya telah berlalu tempoh setahun (cukup haul) caruman yang terkumpul dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) akan dikenakan zakat mengikut kaedah kiraan Zakat Wang Simpanan sekiranya menepati syarat-syarat wajib Zakat Wang Simpanan.