Zakat Padi

Definisi

Tanaman dan buah buahan yang wajib zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi manusia (yang mengenyangkan) dalam keadaan biasa dan ia boleh disimpan dan tidak rosak.

Antara jenis-jenis tanaman dan buah-buahan ialah kurma, anggur kering, gandum, barli, beras atau padi dan sebagainya. Makanan yang dimakan sewaktu musim susah dan kemarau tidak boleh dianggap sebagai makanan asasi. Bagi negara Malaysia, zakat tanaman ini hanya dikhususkan kepada tanaman padi.

Syarat Tambahan

Hasil tanaman yang ditanam oleh manusia bukannya yang tumbuh sendiri.

Bagi negeri Pahang lima wasq (300 gantang Madinah) ini bersamaan 400 gantang Malaysia juga bersamaan 1000kg.

Bilakah Zakat Padi diwajibkan?

Zakat Padi tidak diwajibkan kecuali selepas bijian itu matang dan keras. Tidak disyaratkan semuanya matang bahkan cukup dengan matang sebahagiannya maka dianggap matang semuanya.

Disyaratkan nampak matang pada tanaman kerana sebelum keadaan tersebut ia tidak dianggap sebagai makanan asasi dan tidak sesuai untuk disimpan.

Kaedah Kiraan

Dikenakan zakat sekiranya hasil tanaman itu menyamai atau melebehi 1000 kg atau 400 gantang Baghdad (5 ausuq)

Tanaman yang menggunakan tenaga manusia atau selainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak, maka zakatnya ialah 5% atau 1/20

Bagi tanaman yang menggunakan aliran hujan atau aliran air secara semula jadi, maka zakatnya ialah 10% atau 1/10

CONTOH PENGIRAAN ZAKAT PADI

Penentuan Harga Padi adalah berdasarkan kepada Harga Belian BERNAS
(Andaikan harga padi – Harga Belian BERNAS sekilogram adalah RM 1.80)
Nisab bagi Zakat Padi : 1000 kg x RM 1.80 : RM 1,800.00

Kaedah Menggunakan Kos
Seorang petani memperoleh hasil tanaman padinya semusim sebanyak 2000 kg.
2000 kg : (RM 1.80 x 2000 kg) = RM 3,600.00
Zakatnya = RM 3,600.00 x 5% = RM 180